Monday, January 26, 2009

SUTRA '09 Kembali...

Assalamualaikum dan Salam Ceria...

Alhamdulillah, untuk ke sekian kalinya, dapat kita bertemu lagi dalam ruangan wadah ini. Seperti biasa, kalau sudah mencoret dalam ruangan ini, semestinya tidak terlepas untuk menguar-uarkan kepada warga kolej, terutamanya mengenai program dan aktiviti yang bakal dianjurkan oleh pihak kolej, khas untuk warga penghuninya.

Untuk makluman kalian semua, pada semester kali ini, pelbagai program telah diatur oleh pihak pengurusan kolej bersama-sama dengan JKM Kolej Rahman Putra sendiri. Seperti semua sedia maklum, antara program terdekat yang bakal menjengah ruang jendela kehidupan warga kolej adalah program makan malam anugerah, iaitu Sinaran Keunggulan Rahman Putra 2009, atau nama singkatannya adalah SUTRA '09. Tentu ramai penghuni kolej, terutamanya mahasiswa yang bakal meninggalkan alam universiti tidak lama lagi ingin sekali hadir meraikan malam seperti ini, yang tentunya bisa menggamit kembali memori dan kenangan yang bakal menjadi suatu khazanah berharga kelak.

Program SUTRA dianjurkan saban tahun oleh pihak kolej sebenarnya bermotifkan untuk mengenang segala jasa dan pengorbanan yang telah diberikan oleh segenap lapisan warga kolej dalam memartabatkan nama dan maruah kolej di persada universiti, khasnya dan negara, amnya. Justeru, selaras dengan matlamat dan hala tuju program tersebut, maka program SUTRA '09 ini dianjurkan pada tahun ini, bertempat di Dewan Sultan Iskandar. Program ini akan dilaksanakan pada tarikh 21 Februari 2009, jam 7.45 malam. Bagi makluman warga kolej, tiket masuk akan mula dijual selepas cuti pertengahan semester ini kelak. Untuk memudahkan pihak kalian, sentiasalah kalian semua melawat ke papan kenyataan yang berada di sekitar blok kediaman kalian atau di sekitar bangunan pentadbiran kolej bagi segala informasi terbaru yang berkaitan program berkenaan.

Insya Allah, cukup setakat ini saja daripada saya. Jikalau berkelapangan kelak, akan saya coretkan beberapa informasi dan notis serta makluman yang berguna untuk kalian semua dalam wadah maya ini. Sehingga bertemu lagi.

Wassalam dan Salam Muhibbah...

Sunday, January 25, 2009

Barisan Kepimpinan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Rahman Putra Sesi 2009

Assalamualaikum dan Salam Bicara...

Bersyukur ke hadrat Ilahi dengan nikmat kurnia-Nya dapat kita bersua kembali dalam ruangan blog ini untuk sekian kalinya. Bagaimana dengan cuti pertengahan semester kalian? Semestinya, kalian semua mempunyai pelbagai agenda dan perkara yang semestinya ingin kalian laksanakan. Semoga cuti kalian pada kali ini dapat memberikan pelbagai manfaat yang semestinya memberi seribu satu kenangan dan pengalaman yang bisa membuatkan kalian mematangkan diri dan minda.

Baiklah. Bagi edisi blog kali ini, saya akan memperkenalkan barisan kepimpinan baru Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Rahman Putra bagi sesi tahun 2009. Semestinya, ada di kalangan yang masih lagi tertanya-tanya, siapakah barisan yang akan mengepalai mahasiswa di perngkat kolej kita sendiri. Adakah ia barisan muka-muka baru sepenuhnya? Atau masih lagi mengekalkan muka-muka lama yang telah berkecimpung dalam arena ini? Atau kedua-duanya? Mari kita menerokainya bersama-sama...

Pengerusi
Mohd Fadzly bin Sarip

Timbalan Pengerusi
Ismail Sabri bin Norihan

Naib Pengerusi 1 (Pengurusan)
Mohd Fahmi bin Muhammad Mubarak

Naib Pengerusi 2 (Aktiviti)
Khairina 'Izzati binti Amir Hussain

Naib Pengerusi 3 (Blok)
Mohd Fadzli bin Ismail

Setiausaha
Radhiahtul Raehan binti Mustafa

Timbalan Setiausaha
Norsafawati binti Sofyan

Bendahari
Aini Amirah binti Kasim

Timbalan Bendahari
Mohd Ainuddin bin Khairuddin

Biro Kerohanian
Anis Afida binti Mohd Azli (KB)
Mohamad Nizar bin Mohammad Daud (TKB)

Biro Kebajikan & Kemasyarakatan
Siti Safirah binti Adiman (KB)
Suhaimi bin Sapar (TKB)

Biro Pendidikan & Akademik
Nur Syazwani binti Mohd Hanafiah (KB)
Muhammad Shahrul Shafendy bin Ibrahim (TKB)

Biro Hubungan Luar & Antarabangsa
Anne Sharon a/p Augustin Louis (KB)
Vasugi a/p Govindasamy (TKB)

Biro Sukan & Rekreasi
Mohd Syukri bin Azeman (KB)
Nurfatin Aqilah binti Mohd Yusof (TKB)

Biro Kebudayaan, Kesenian & Perpaduan
Mohd Rafiq bin Ramlee (KB)
Siti Nur Fatimah binti Subari (TKB)

Biro Kaunseling & Kerjaya
Nur Wahidah binti Abd Hakim (KB)
Azree Azmin bin Mokhtar (TKB)

Biro Dokumentasi, Komunikasi & ICT
Mohd Haffiz bin Masran (KB)
Nor Hafiza binti Omar (TKB)

Biro Penyelidikan & Pembangunan
Muhammad Taufik bin Mat Rais (KB)
Muhammad Faeiruz bin Rusman (TKB)

Biro Keusahawanan
Wan Ahmad Darimi bin Wan Abdul Hamed (KB)
Nor Amalina binti Mazlan (TKB)

Biro Keceriaan & Keharmonian
Mohd Farid bin Md Yunos (KB)
Norazirawani binti Zakaria (TKB)

*KB-Ketua Biro
*TKB-Timbalan Ketua Biro

Inilah dia barisan kepimpinan JKM Kolej Rahman Putra bagi sesi kali ini. Untuk pengetahuan pihak kalian semua, barisan kepimpinan JKM bagi sesi kali ini adalah dibentuk dan digabung daripada mantan JKM '07 dan mantan JKM '08 bersama-sama dengan muka-muka baru yang terdiri daripada seramai 25 orang. Jumlah JKM '09 kali ini ada seramai 31 orang dan merupakan barisan kepimpinan yang teramai setakat ini berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya bagi Kolej Rahman Putra.

Insya Allah, untuk edisi-edisi blog yang akan datang, jika diberikan kesempatan oleh-Nya, saya akan memperkenalkan secara terperinci profil bagi setiap individu-individu yang bernaung di bawah kepimpinan JKM Kolej Rahman Putra ini.

Sekian saja untuk wadah pada kali ini. Semoga kita bertemu lagi.

Wassalam dan Salam Ceria...

Salam Pengenalan Kepada Semua Warga Kolej Rahman Putra...

Assalamualaikum dan Salam Perkenalan kepada anda semua..

Rasanya, belum terlambat lagi untuk saya mengucapkan selamat menyambung kembali perjuangan kita yang masih lagi belum selesai dalam mengejar cita-cita dan kerjaya yang sememangnya menjadi nadi dan harapan diri kita sendiri, bahkan kedua-dua orang ibu bapa kita yang berada di sisi kita.

Selamat datang saya ucapkan kepada semua pengunjung yang mengunjungi blog ini, terutamanya warga Kolej Rahman Putra, khasnya. Saya, selaku Naib Pengerusi 1 (Pengurusan) bagi sesi Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Rahman Putra sesi 2009 mengalu-alukan kedatangan anda semua ke blog kami yang masih baru lagi dalam pembikinannya. Insya Allah, dalam masa yang terdekat ini, akan kami uar-uarkan kepada anda semua mengenai blog ini untuk ditatap bersama sebagai salah satu wadah untuk kita berinteraksi dan brkongsi segala-gala ilmu dan pengalaman, bahkan coretan rasa yang bisa mungkin diajukan kepada pihak kami dalam melaksanakan amanah dan matlamat kami untuk merealisasikannya demi kebaikan semua pihak. Insya Allah.

Kepada seluruh kaum yang berbangsa Cina, masih sempat untuk saya mengucapkan 'Selamat Menyambut Tahun Baru Cina' yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi. Semoga kalian berbahagia di hari yang sememangnya kalian nanti-nantikan untuk merayakannya bersama-sama insan yang tersayang. Selamat bergembira.

Sebelum saya menitipkan warkah saya pada coretan kali ini, semoga anda semua dapat memberikan kerjasama dan hubungan yang baik terhadap pihak pengurusan kami selaku wakil yang memperjuangkan segala permasalahan yang berkait rapat dengan mahasiswa. Segala permasalahan yang wujud, Insya Allah, akan kami cuba sedaya upaya dalam mencari penyelesaiannya. Semoga kita bertemu lagi dalam coretan warkah seterusnya, Insya Allah.

Akhir kalam, selamat bercuti kepada anda semua.

Wassalam...