Monday, January 26, 2009

SUTRA '09 Kembali...

Assalamualaikum dan Salam Ceria...

Alhamdulillah, untuk ke sekian kalinya, dapat kita bertemu lagi dalam ruangan wadah ini. Seperti biasa, kalau sudah mencoret dalam ruangan ini, semestinya tidak terlepas untuk menguar-uarkan kepada warga kolej, terutamanya mengenai program dan aktiviti yang bakal dianjurkan oleh pihak kolej, khas untuk warga penghuninya.

Untuk makluman kalian semua, pada semester kali ini, pelbagai program telah diatur oleh pihak pengurusan kolej bersama-sama dengan JKM Kolej Rahman Putra sendiri. Seperti semua sedia maklum, antara program terdekat yang bakal menjengah ruang jendela kehidupan warga kolej adalah program makan malam anugerah, iaitu Sinaran Keunggulan Rahman Putra 2009, atau nama singkatannya adalah SUTRA '09. Tentu ramai penghuni kolej, terutamanya mahasiswa yang bakal meninggalkan alam universiti tidak lama lagi ingin sekali hadir meraikan malam seperti ini, yang tentunya bisa menggamit kembali memori dan kenangan yang bakal menjadi suatu khazanah berharga kelak.

Program SUTRA dianjurkan saban tahun oleh pihak kolej sebenarnya bermotifkan untuk mengenang segala jasa dan pengorbanan yang telah diberikan oleh segenap lapisan warga kolej dalam memartabatkan nama dan maruah kolej di persada universiti, khasnya dan negara, amnya. Justeru, selaras dengan matlamat dan hala tuju program tersebut, maka program SUTRA '09 ini dianjurkan pada tahun ini, bertempat di Dewan Sultan Iskandar. Program ini akan dilaksanakan pada tarikh 21 Februari 2009, jam 7.45 malam. Bagi makluman warga kolej, tiket masuk akan mula dijual selepas cuti pertengahan semester ini kelak. Untuk memudahkan pihak kalian, sentiasalah kalian semua melawat ke papan kenyataan yang berada di sekitar blok kediaman kalian atau di sekitar bangunan pentadbiran kolej bagi segala informasi terbaru yang berkaitan program berkenaan.

Insya Allah, cukup setakat ini saja daripada saya. Jikalau berkelapangan kelak, akan saya coretkan beberapa informasi dan notis serta makluman yang berguna untuk kalian semua dalam wadah maya ini. Sehingga bertemu lagi.

Wassalam dan Salam Muhibbah...

No comments:

Post a Comment