Monday, February 9, 2009

Permulaan Sebuah Epilog Erat...

Assalamualaikum dan Salam Perkenalan...

Akhirnya, masa yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Kunjungan kami, warganegara Kolej Rahman Putra, merangkap wakil terhadap Universiti Teknologi Malaysia hadir menyembah di bumi UiTM Johor, Segamat ini. Kunjungan kami yang tiba di perkarangan UiTM sekitar jam 1 tengah hari disambut dengan senyuman oleh tuan rumah, yang diwakili oleh saudara Raedha, merangkap Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Sektor A. Kunjungan kami ke sana adalah menerima pelawaan dan undangan pihak mereka bagi mengadakan sukan persahabatan antara dua buah gergasi universiti di selatan tanah air ini dan secara tidak langsung juga, agenda ini turut sama diselitkan dengan sesi pertukaran maklumat di antara wakil Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Rahman Putra bersama-sama dengan wakil daripada JPK UiTM Johor sendiri.

Begitulah perjalanan sekilas gambaran yang diutarakan kepada anda semua. Sudah semestinya kunjungan kami ke sana sedikit sebanyak memberikan sedikit imput yang pastinya membuka minda dan idea dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kami sendiri, sebagai badan organisasi pelajar di peringkat kolej. Seperti yang saya maklumkan di awal sesi warkah ini, seperti yang diketahui umum, setelah usainya agenda bersama dengan JPK UiTM, kami semua meneruskan agenda seterusnya, di mana sukan persahabatan di antara dua buah universiti ini dilangsungkan.

Terdapat 6 buah acara sukan yang dipertandingkan, iaitu Bola Sepak, Bola Jaring, Bola Baling, Bola Tampar, Bola Keranjang dan Futsal, di mana hanya tiga acara saja yang dipertandingkan dalam dua kategori; Bola Tampar, Bola Keranjang dan Futsal dalam kategori lelaki dan wanita. Bola Sepak dan Bola Baling hanya dalam kategori lelaki manakala Bola Jaring dalam kategori wanita. Untuk makluman lanjut, acara sukan persahabatan ini merupakan acara yang akan dijalankan saban tahun sebagai acara rasmi di antara dua buah universiti ini, di mana sebuah piala pusingan secara rasminya diperkenalkan dan dipertontonkan di khalayak umum di UiTM Johor. Piala ini akan dibawa pulang dan disimpan oleh pihak universiti yang memenangi paling banyak acara sukan yang dipertandingkan.

Seperti yang dijangkakan, Kolej Rahman Putra, mewakili UTM telah membawa pulang piala berkenaan untuk edisi pertama ini. Alhamdulillah, berkat kerja keras pihak yang berkenaan dan para atlet yang berlatih bersungguh-sungguh, akhirnya membawa kepada kejayaan yang diimpikan oleh semua pihak. Di bawah ini, saya lampirkan keputusan acara-acara sukan yang dipertandingkan semasa pihak kami berada di sana:
Bola Sepak UTM menang
Bola Jaring UTM menang
Bola Baling UiTM menang
Bola Tampar (L) UTM menang
Bola Tampar (W) UTM menang
Bola Keranjang (L) UTM menang
Bola Keranjang (W) UTM menang
Futsal (L) UTM Menang
Futsal (W) UiTM menang

Itulah antara keputusan-keputusan yang dicapai oleh wakil UTM ke UiTM dalam slot sukan persahabatan berkkenaan. Diharapkan agar kejayaan-kejayaan sebegini mampu diraih dan diperoleh oleh Kolej Rahman Putra di masa-masa akan datang, Insya Allah. Tahniah dan syabas terhadap atlet-atlet yang berjaya mengharumkan nama Kolej Rahman Putra di persada universiti, khasnya. Semoga kejayaan yang dicapai mampu digapai dan ditingkatkan bagi mencapai visi dan misi kolej, khasnya dan universiti, amnya. Kepada mereka yang tidak berjaya, tidak mengapa. Masih ada waktu bagi kalian untuk menunjukkan kebangkitan kalian di sesi-sesi yang seterusnya jika diberi keizinan oleh-Nya. Insya Allah.

Sebelum saya mengundurkan diri dalam titipan warkah kali ini, ingin sekali saya sisipkan penghargaan terhadap warga kolej yang sanggup dan tampil ke hadapan dalam menyahut cabaran yang diberikan dalam menyertai kejohanan yang sebegini rupa. Semoga sokongan yang kalian berikan mampu menjana impak positif terhadap warga kolej yang lain dalam menyahut cabaran bersama-sama demi membangunkan diri, khasnya dan membawa nama dan maruah kolej ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Kepada para penyokong yang sanggup menggadaikan masa emas mereka datang bersama-sama, beriringan ke UiTM Johor ini demi memberikan semangat dan sokongan padu terhadap atlet kolej kita, ucapan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga saya sematkan terhadap kalian semua. Tanpa kalian semua, siapalah kami di sini.

Baiklah. Cukup setakat di sini saja warkah baut kali ini. Semoga kita berjumpa lagi. Akhir kata, sahutlah cabaran yang diberikan untuk membuktikan sejauh mana kemampuan diri kita sendiri. Fikir-fikirkanlah sejenak bait-bait ayat tersebut.

Wassalam dan Salam Ukhuwah...

No comments:

Post a Comment