Tuesday, March 31, 2009

Ke Mana Menghilangnya Diri Ini?

Assalamualaikum dan Salam Ukhuwah kepada anda semua...

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi dengan limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama kembali mengutarakan sebarang hebahan maklumat, informasi dan idea dalam cetusan minda dan lembaran teknologi pada kali ini. Moga-moga, dapatlah kita bertemu dengan sekerap mungkin dalam ruangan ini di masa muka kelak. Insya Allah.

Baiklah, untuk edisi kali ini, saya ingin mendokumentasikan beberapa program atau agenda yang telah dilaksanakan oleh pihak kami, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Rahman Putra. Untuk makluman dan pengetahuan pihak kalian semua, berikut adalah sinopsis ringkas mengenai program-program tersebut:

Kem Kecemerlangan 2009
Anjuran: Biro Pendidikan & Akademik
Tarikh: 27 Feb, 28 Feb & 1 Mac 2009
Lokasi: Kem Rebutia, Gombak, Selangor Darul Ehsan
Sinopsis Program: Program ini diadakan bersempena untuk meningkatkan kembali sebilangan para pelajar yang menginap Kolej Rahman Putra dalam aspek akademik mereka. Kategori pemilihan pelajar ini adalah melalui beberapa peringkat saringan yang dirasakan perlu oleh Biro Pendidikan & Akademik sambil dibantu oleh Pengetua Kolej, Felo Penasihat Program dan Penolong Pengurus Asrama. Seperti mana yang diutarakan di awal pengenalan sinopsis program ini, kem ini dianjurkan bagi meningkatkan prestasi akademik para pelajar kolej dalam mengharungi masa-masa yang ada di laman akademik pengajian tinggi.

Sambutan Maulidur Rasul 2009 (SAMUDRA '09)
Anjuran: Biro Kerohanian
Tarikh: 6 Mac 2009
Lokasi: Dewan Sri Meranti, Kolej Rahman Putra, Universiti Teknologi Malaysia
Sinopsis Program: Sambutan Maulidur Rasul atau nama akronimnya, SAMUDRA, dilaksanakan buat kali kedua berturut-turut semenjak kewujudannya pada tahun lepas. Konsep program kali ini tidak dianjurkan berstatus mega seperti yang pernah dilaksanakan pada edisi lepas, namun, pelaksanaan program pada kali ini mendapat sambutan yang memberangsangkan oleh seluruh warga kolej, khasnya dan warga kampus, umumnya. Ceramah yang dirancang bagi mengisi slot program ini adalah mengenai Rasul Junjungan Mulia, Nabi Muhammad saw, yang diamanahkan oleh Allah swt untuk mengajak manusia ke arah kebenaran hidup.

Lawatan Kebajikan ke Institut Jantung Negara (IJN) & Rumah Siraman Kasih
Anjuran:
Biro Kebajikan & Kemasyarakatan
Tarikh: 21 Mac-22 Mac 2009
Lokasi: Institut Jantung Negara (IJN) dan Rumah Siraman Kasih, Kuala Lumpur
Sinopsis Program: Berteraskan konsep kesedaran mahasiswa terhadap persekitaran masyarakat sekeliling, Biro Kebajikan & Kemasyarakatan mengambil langkah yang proaktif dalam melaksanakan program yang sebegini. Dengan pelbagai agenda dan perancangan yang dijadualkan oleh pihak jawatankuasa pelaksana program dalam menjana kewangan dan idea bagi memastikan program sebegini mampu membawa mahasiswa, khasnya kembali semula ke persada persekitaran masyarakat yang sememangnya memerlukan keprihatinan kita dalam menerjah arus yang serba moden kini. Sesungguhnya, program ini adalah merupakan salah satu program berkonsepkan khidmat masyarakat yang membawa tatacara pelaksanaan yang berbeza.

Begitulah serba sedikit sedutan pelaksanaan program yang telah dilaksanakan oleh mahasiswa kolej. Insya Allah, jikalau ada kekangan masa dan waktu, akan saya muatkan dalam edisi-edisi penulisan yang akan datang. Sebelum diri ini mengundurkan diri, selamat mengulang kaji pelajaran kepada anda semua. Berbekalkan baki-baki masa yang ada sebelum menghadapi peperiksaan akhir semester 2 sesi 2008/2009 ini, anda gunakanlah masa yang ada dengan sebaik-baiknya agar segala azam yang diniatkan di awal pengajian kita dapat ditunaikan. Insya Allah.

Akhir kalam, Wassalam dan Salam Ceria.

1 comment: