Sunday, March 1, 2009

Berlabuh Sudah Tirai SUTRA '09

Assalamualaikum dan Salam Mesra kepada anda semua...

Alhamdulillah, kita bertemu kembali dalam ruangan blog edisi kali ini. Akhirnya, dengan izin daripada-Nya dapat jua program SUTRA '09 dilaksanakan dan dianjurkan mengikut spesifikasi dan ketentuan serta ketetapan perancangan yang ingin dipersembahkan. Semoga, dengan program ini mampu memberikan impak terhadap golongan sasaran yang ingin dicapai oleh pihak penganjur program. Insya Allah.

Kepada semua tetamu yang hadir pada malam penuh gilang-gemilang dan warna-warni tersebut, saya mewakili seluruh ahli jawatankuasa pelaksana mengucapkan ribuan terima kasih kerana tanpa sambutan dan sokongan daripada pihak anda, tidak mampu rasanya bagi kami untuk merealisasikan program tersebut dari atas sekeping kertas putih ke pentas realiti dan kaca mata anda semua. Terima kasih yang tidak terhingga buat anda semua.

Tidak dilupa juga kepada seluruh krew dan warga kerja pelaksana SUTRA '09 yang bertungkus-lumus, bergolok-gadai segala-galanya; masa, tenaga, kewangan dan sebagainya yang berkaitan dengan program ini. Segala jasa dan pengorbanan kalian amatlah pihak kami hargai dan semoga hubungan yang baik ini dapat diteruskan sehingga ke akhirnya. Insya Allah. Tanpa kalian yang berdiri utuh melaksanakan program yang sebegini besar ini, siapalah kami yang berada di atas tanpa adanya sokongan yang padu yang bermula dari akar umbi. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan, ikhlas daripada hati nurani saya sendiri.

Akhir kalam bicara, semoga penganjuran konsep SUTRA akan datang mampu membawa perubahan yang mencerminkan imej mahasiswa yang berketrampilan dalam mengharungi segala cabaran dan rintangan yang bakal dihadapi kelak. Kepada seluruh penerima anugerah, tahniah saya ucapkan dan kepada yang tidak berjaya, tidak mengapa. Anda masih lagi mempunyai masa dan ruang untuk memperbaiki dan memulakan langkah yang baru untuk menjadi salah seorang yang lebih berjaya kelak. Insya Allah. Diharapkan agar penganjuran SUTRA akan datang mampu melaksanakan program yang lebih baik berbanding program-program sebelum ini. Insya Allah.

Semoga berjaya untuk penganjuran SUTRA edisi akan datang dan sehingga bertemu kembali.

Wassalam dan Salam Ukhuwah...

No comments:

Post a Comment